Artikulasi Psikosis
Mentari segan-segan mengintai di celahan kawanan awan hitam. Mengejut. Sebentar tadi awan itu bersetuju dan bersatu memuntahkan titis hujan. Lebat membebat hari. Seakan-akan hujan itu tidak akan reda sampai kiamat. Cuaca jarang berdisiplin, Melbourne tidak segan menghimpun musim nan empat dalam diari sehari. Kadang-kadang panas sepijar-pijarnya, sekonyong-konyong sejuk sehingga kebas merampas sendi. Sekarang, dingin mundar-mandir pada nadi Melbourne sehingga memaksa suhu terjeda pada angka 13 darjah Celcius. Kembara tahun menghampiri perbatasan musim luruh, pohon-pohon sudah botak habis, yang tinggal hanya cabangan ranting yang sabar menanti pucuk baru yang kebiasaannya muncul pada penghujung musim dingin. Hisyam semurung awan mendung, sekalut angin yang gopoh-gapah menyeret pergi awan hitam. Seminit tidak berlalu tanpa dia mengerling jam di tangan. Sebetulnya, dia telah cepat-cepat keluar daripada Rotundra, dewan kuliah renta separa bulat tempat dia menadah ilmu. Tampang pensyarah histologi, Prof. Jim Godding menari-nari dalam cepu mindanya, membuat kacau di daerah fikir. “Ah! Orang tua itu kalau bersyarah tak tahu berhenti!” Mengeluh, mendesak keluar sisa udara dari rongga hidung, mendesah dengan bunyi huh.
Hari ini penuh debar. Dia sudah lama berkira-kira untuk berada pada hari ini. Hari ini dia mahu menunjukkan kejantanannya. Kalau perlu membuka bunga-bunga silat, dia akan buka. Kalau perlu memunggah jurus, dia akan punggah. Dia akan jerkah dan berpencak, dia akan kekah. Dia akan menghimpun aura-aura kemampuannya pada kota usaha. Tapi dia sudah terlewat. Dia telah menabrak janji, melewati permatang jam dua, lajak sampai tiga puluh minit. “Kalau kerbau dipegang pada tali, aku dipegang pada janji.” Hatinya menjerkah rasa, hingga rasa diruntun sesal. “Kalau aku tak makan tengah hari pun tak mengapa, lagi pula Isnin sunat berpuasa.” Sesal menjuju menyerbu rumah rasa. Sepatutnya, tepat jam dua dia sudah berada di Hill Medical Centre bagi latihan perubatannya yang pertama. “Bakal doktor tak sepatutnya lambat,” dia bermonolog memarahi dia. Begitu selama beberapa minit yang sempat singgah. Sedang begitu, bas tergesa-gesa menyapa, penumpang berbaris seorang demi seorang menanti giliran menjejali perut kenderaan, dia antara seorang demi seorang itu. “Lega, datang juga bas,” Hisyam memaku pandang pada Menzies Building yang berdiri ego di tengah kompleks Monash University. Semakin kecil, sayup dan hilang dari pandang.
Hisyam antara yang bernasib baik terpilih mengikuti pengajian perubatan di luar negara. Dia betul-betul bersyukur. Dia menitipkan syukurnya pada setiap saat yang pergi. Syukur dengan nikmat yang rajin menyapa. Musim bunga tahun lepas, dia menjejakkan kaki buat pertama kali di benua Australia. Tika itu, seperti mahu berlari menyanyikan gembira. Dingin musim bunga masih hangat di wilayah fikir. Indah. Senyum teman-teman yang turut sama mendarat di Tullamarine Airport masih meratai lantai kenangan sampai saat ini. Dia akan ingat detik itu, dia juga akan ingat untuk bersyukur kerana detik itu. Masa lincah dan pantas, terasa seolah-olah masa memecut deras meninggalkan dia warawiri dalam kesibukan sendiri. Laju, tanpa sempat dia sedar, dia sudah terdampar pada hari ini.
Setahun pergi, padat dengan rona hidup. Hisyam menjadi murid yang tekun menyulam hikmah pada kanvas pengalaman. Dia seorang pelajar yang rajin mengutip wajar pada pengajar yang mengajar makna dewasa. Dia dewasa dengan kedewasaan. Dia belajar dengan memerhati, menilai, fikir, dan analisa. “Ini bukan model masyarakat yang baik,” dia berbisik dalam hati. Insiden hujung minggu lepas masih lepas bebas berlari dalam kotak ingatan.
Seorang tua. Pakaian lusuh, compang-camping. Lihat. Mulut ternganga. Sekali-sekala biji halkum turun naik menelan liur. Wanita lewat 30 tahun. Memegang kebab. Kunyah. Telan. Sisa pada dua ulas bibir dijilat. Suap lagi. Kunyah dan telan. Nikmat.
“Maaf saudari, boleh beri sebahagian daripada kebab yang berbaki kepada saya?” Pinta orang tua dengan pelat pekat Inggeris Australia.
“Maaf, saya lapar,” balas wanita seraya menjilat sisa sos yang melekat pada jari jemari.
“Saya sudah tak punya wang, lihat lebam-lebam di perut saya,” lelaki tua mengangkat baju. Perutnya terdedah.
“Lagi. Lihat di belakang saya,” menunjukkan belakang badan, kebiru-biruan, pepak lebam. Wanita lihat sekilas pandang, mahu tak mahu.
“Itu kau punya fasal,” balas wanita. Suara tinggi.
“Kau tak tahu, semalam aku kalah judi, aku tendang mesin judi, terajang, pukul, hentak sampai pengawal keselamatan heret aku keluar! Kemudian pukul aku, lebih teruk daripada aku pukul mesin judi. Lihat ini. Ini dan ini.” Orang tua meninggikan suara, menyelak baju sana sini, tidak keruan. Wanita berlalu, muka kerut seribu, meluat.
“Bodoh! Anjing lagi bagus daripada kau! Tak ada belas ihsan!” Orang tua menjerit. Pejalan kaki yang lalu-lalang berhenti dan memandang. Hisyam yang berdiri tidak jauh daripada orang tua kaku, pertama kali lihat adegan begini. Orang tua bergegas ke arah seekor anjing yang ditambat pada tiang papan tanda yang tertera ‘jangan berhenti’.
Anjing menggigit orang tua. Berkali-kali menampar kepala anjing. Lepas. Ludah dia pada bulu gebu si anjing. “Anjing dan orang tak ada beza!” Jerkah orang tua, anjing menyalak galak dan galak menggoyang ekor. Orang tua pergi, huyung-hayang. Hisyam gumam, tegak.
Perjalanan dari Monash University ke Hill Medical Centre yang letak di Dandenong menuntut 45 minit daripada kantung masa. Agak jauh, agak lama. Sempat untuk akar kenangan menghunjam sampai dasar memori, membungakan bunga-bunga fikir, mekar mengharumkan ujana kematangan. Kisah demi kisah bersilih ganti mengisi kembara waktu. Metropolitan Melbourne tertayang pada layar memori. Trem yang menjalari dada Melbourne dan mendenyutkan nadi kehidupan warganya melanggar tiang seri ingatannya. Hisyam kerut, menzahirkan kontur dahi.
Di atas trem. Penumpang kurang. Hisyam sendiri. Pemuda mata kuyu huyung hayang menghampiri. Mengomel tak tahu buah butir.
“Bala! Budak dadah, jangan kacau aku sudah!” Bermonolog gundah. Hisyam membuang pandang pada pejalan kaki yang beruntun-runtun dituntun arah tersendiri.
“Budak! Satu dolar!” Pemuda mata kuyu menyapa. Biadap. Hisyam buat tak dengar. Cuak menjentik debar.
“Buat tak tahu, nanti nyahlah dia,” Hisyam membisikkan tenang pada diri sendiri.
“Pekakkah budak? Satu dolar! Satu dolar!” Ulang pemuda mata kuyu dalam pelat Australia pekat. Telunjuknya ditujal-tujal pada kepala Hisyam.
Hisyam disergah geram. Darah keturunan Laksamana Bentan membuak dan membusa dalam trafik darahnya. Pantang datuk nenek seribu keturunan kalau kepalanya ditujal-tujal. Kalau perlu berpencak, dia akan berpencak, memasang kekuda dan meledakkan buku tangan. Kalau perlu membuka bunga-bunga silat, dia akan buka. Kalau perlu memunggah jurus, dia akan punggah. Dia akan jerkah dan berpencak, dia akan kekah. Mujurlah sabar masih tegar memasak amarah. Sabar itu jugalah yang menjadi kawat memisahkan dia dan sinopsis duka. Turutkan kata hati hanya mengundang binasa. Kalau tidak, mungkin wajahnya yang kacak dan bebas jerawat itu akan terpampang di muka hadapan tabloid terkenal Melbourne, The Herald Sun. “Saya tak punya wang,” Hisyam menjawab seraya membenam pandang jauh ke dasar mata pemuda yang segan untuk terbuka. Pemuda mencarut-carut, barang kali dengan segala carutan yang dipelajarinya dari kecil sampai hari ini, tidak putus-putus mencuar keluar dari mulut pemuda, membidik gegendang telinga Hisyam. Hisyam selamba. Pemuda huyung hayang pergi, meninggalkan Hisyam sendiri. “Alhamdulillah, nasib tak ada apa-apa,” Hisyam lega, saraf simpatetiknya mengendur, tenang melenggang di taman rasa. Genggaman tangan kanan dibuka, syiling emas satu dolar damai di telapak tangannya. Hisyam senyum.
Manusia makhluk yang menyusun diksi-diksi kompleksiti pada lajur kehidupan, mencabar akal untuk menghuraikan makna tersurat dan tersirat. Kadang kala dengan rima sumbang yang menghilangkan estetika kemanusiaan itu sendiri. Negara maju seperti Australia sedang menghadapi proses revolusi akhlak yang mendebarkan. Kepesatan kemajuan menyesarkan nilai moral masyarakat. Nilai murni dan sahsiah sudah menjadi prioriti terakhir, yang dijulang-julang adalah kecemerlangan materi. Hasilnya, kebejatan meratai setiap strata masyarakat. Kisah seorang politikus Australia yang telah menjalani pemeriksaan susunan genetik bagi mengesahkan status anaknya masih basah dalam ingatan Hisyam. Ujian itu akhirnya membongkar hakikat bahawa yang disangka anaknya itu bukanlah anaknya, yang disangka anaknya itu adalah anak teman wanitanya bersama lelaki lain. Masih terngiang-ngiang keluhan rakan tutorialnya apabila tutor mereka membentangkan statistik bahawa sepuluh peratus daripada penjaga bukanlah bapa atau ibu kandung kepada jagaan mereka. Hisyam faham benar, apa-apa yang bertentangan dengan fitrah manusia akan dibenci oleh manusia. Kiasannya begini, seorang pencuri akan marah dan geram jika miliknya dicuri. Kebejatan akan dibenci oleh sesiapa sahaja walaupun oleh si pelaku bejat, cuma masa menentukan bila dan di mana. Manusia yang berkubang dalam lumpur kebejatan akan menyusahkan orang lain, kalau pun tidak memalitkan lumpur, menyuntik rensa pada saraf dengan bau hamis. Ini adalah hasil pembangunan yang tidak disepadukan dengan pembinaan moral. Gejala keretakan sosial ini diartikulasikan atau dinyatakan melalui pertambahan bilangan penagih dadah, anak luar nikah dan kes-kes jenayah. Natijah daripada persekitaran yang tidak sihat dan selamat itu akan disusuli pula dengan gejala psikosis atau gangguan mental yang teruk. Artikulasi psikosis adalah penanda bahawa masyarakat telah berada pada tubir kemajuan yang menanti rebak.
Kebiasaannya, kenderaan awam dilengkapi dengan pemanas udara, menghangatkan dingin musim gugur yang hinggap pada tisu kulit. Suam menjemput selesa. Dalam pelukan selesa, lamunan belayar dalam lautan hikmah. Tiba-tiba terhenti bersama bas yang sedia berteleku betul-betul di hadapan Stesen Yarraman, Dandenong. Hisyam turun mengekori penumpang-penumpang lain. Dia perlu mengerah langkah dan meranduk dingin kira-kira satu kilometer, menyusuri bahu Chandler Road sebelum sampai ke Hill Medical Centre. Hisyam menjeling jam di tangan. Jarum jam dan minit andar pada angka tiga. “Ah, aku lewat sejam lima belas minit!” Hisyam mengeluh. Kaki terus-terusan menghayun bandul langkah, akal terus-terusan menghayun bandul fikir. Dia punggah kotak kata, menyusun ayat terbaik untuk menerangkan peri kelambatan dia pada hari ini. Dedaun merah, kuning dan perang yang membentuk mozek lorong pejalan kaki sudah tidak dia hiraukan. Habis dihenyak tanpa sempat memuji kreativiti karya alam ciptaan Tuhan. Biarlah pepohon meranggaskan dedaun, yang penting dia segera sampai dan melaporkan diri.
“Maaf , saya lambat. Kuliah usai lewat dan terpaksa akur dengan jadual perjalanan bas,” Hisyam melontarkan patah-patah kata Inggeris dengan lancar, kemudian mencipta senyum buat Dr. Kamala yang sedia berdiri di hadapannya. Pengamal perubatan yang berasal dari Sri Lanka itu membalas senyum. “ Tak mengapa, saya pun baru masuk kerja,” bahasa Inggerisnya fasih, ada mesra di hujung intonasi. Lega mengusir debar. Keduanya bubar dari ruang menunggu, kemudian beriringan masuk ke bilik rawatan. Hisyam melangkah dengan harapan untuk belajar sesuatu.
Pesakit pertama masuk. Seorang wanita tua, kedut setukal. Perlahan maju mengatur bidak-bidak langkah dengan berhati-hati. Rambut keperangan, mata coklat hazel dan kulit putih pucat, ciri tipikal Kaukasia. Duduk. Betul-betul di hadapan Dr. Kamala. Tidak menghiraukan Hisyam yang membatu di sisi meja. Wanita Kaukasia, doktor berdarah Sri Lanka dan Hisyam, Melayu yang berkelana ke Australia menimba ilmu dan pengalaman. Wanita tua menggeledah tas tangan hitam yang resah di ribaan. Senyap.
“Saya datang untuk ini,” wanita Kaukasia menghempas bungkusan kuning ke atas meja. Pada bungkusan tertera Ritalin. Jenama methylphenidate, sejenis ubat yang berfungsi sebagai anti-depresi. Doktor mengerutkan kening, Hisyam juga begitu. Sekonyong-konyong wanita tua menghamburkan tangis. Makin lama dengan sedu yang berganda.
“Saya cuma mahu kembali kepada kehidupan normal,” kata-kata itu mencuri keluar dari celahan sedu-sedan.
“Terasa seperti ingin menjerut diri sendiri, biar saya keluar dari ketidakkeruan dunia saya,” tutur wanita putus-putus, air mata berderai turun menerusi rekahan kulit tua.
“Sabar Anne, saya akan cuba dapatkan pakar psikiatri untuk bantu awak,” doktor yang lama terdiam menyisip bicara, wanita tua menyeka cucur air mata dengan kura tangan. Ligat jari jemari doktor berlari di atas lajur nombor pada badan telefon. Mendail. Sayup terdengar suara di hujung talian, perbincangan berlangsung. Meletak gagang.
“Pulang dulu Anne, esok, jam sembilan pagi, pakar itu akan berkunjung ke kediaman awak.” Berulang kali wanita Kaukasia melafazkan terima kasih, kemudian lambat-lambat berlalu meninggalkan bilik rawatan. Di luar, kereta mewah siap dengan pemandu sedia menanti. Setia. Hisyam, menerusi cermin bilik rawatan melihat Anne terbongkok-bongkok masuk ke dalam perut kereta.
“Tak guna kemewahan tanpa ketenangan,” doktor menyentak tumpuan Hisyam yang sedari tadi terpempan pada Anne, pemandu dan kereta mewah.
Malam bersekutu dengan kegelapan untuk membalut siang yang semakin singkat, fenomena biasa apabila takwim tahunan menyapa musim dingin. Jam lima petang, hari sudah berada pada rengkung malam. Hisyam menjunjung langit kirmizi, bertemankan ketar kedinginan, berlalu meninggalkan Hill Medical Centre. Dia lebih dewasa daripada tadi kerana pengalaman yang baru sahaja dikutipnya.
Pembangunan materi yang tidak disepadukan dengan pembangunan moral adalah suatu jenayah yang maha besar, menatijahkan bencana pada setiap strata masyarakat. Hisyam bermonolog sendiri. Kemewahan bukan prasyarat ketenangan. Usaha membina peradaban yang hanya berasaskan bata-bata kebendaan ibarat menghasilkan bangunan yang retak dan menanti belah. Di kaki lima bangunan itu nanti, akan bergelandangan manusia yang sakit rohaninya. Penipu, pencuri, perogol, penagih dadah, kolar biru yang culas, kolar putih yang makan suap, pengkhianat, kaki botol, anak luar nikah yang tidak berdosa dan segala macam penderitaan, artikulasi psikosis. Perlahan-lahan retak itu bertemu belah lalu bata-bata menghempap manusia-manusia sakit yang bergelandangan di kaki lima. Lenyaplah bangunan peradaban itu menjadi puing-puing derita.
Hisyam berjalan memudiki semilir musim luruh. Daunan merah, kuning dan perang ghairah menyapa kaki seolah-olah berebut untuk memanjat naik ke tubuhnya. Indah dan syahdu nian. Kombinasi daunan yang membentuk lantai lorong pejalan kaki, saujana alam yang kekuningan, dan dingin semilir mengundang tenang. Alam indah yang tercipta atas intuisi seni Tuhan yang tidak bersempadan. Hisyam memuji kebesaran Tuhan. Pada pawana yang bertamu, dia amanahkan doa agar tanah airnya terselamat daripada kebejatan moral. “Dirgahayu tanah airku,” Hisyam memandang awan hitam yang berarak tenang. Rindu.
Al- Hasyr
: [18]Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.[
19]Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka.
[20]Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).
[21]Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.
[22]Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[23]Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
[24]Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.
by Hafez Iftiqar Termizi
2 comments:
Terima kasih untuk blog yang menarik
Sama2x
datg2x lh lagi (",)
Post a Comment