Sunday, February 22, 2009

:::AKU, GHULAM & ........:::::

Astaghfirullahal’azim...
Terasa diri ini teramat lalai dengan nikmat masa yang dikurniakan Allah. Usia muda hanya sekali..tapi apa yang ada dengan usia mudaku..hari-hari bermuhasabah..namun..”pi mai pi mai, tang tu..juga”

Ya Allah..berilah aku rasa syukur dengan segala nikmatmu...Alhamdulillah..ya Allah..hanya engkau yang mencelikkan hati-hati yang lalai..Alhamdulillah..terima kasih ya Allah..dengan izinmu..dapatku mengutip sedikit dari ilmu Mu yang maha luas..

”Kebetulan”? Satu terma yang sering diguna pakai masyarakat kita. Adakah hidup ini penuh dengan ”kebetulan”? Wahai kawan-kawan..adakah ”kebetulan” kita bertemu? Adakah ”kebetulan” kita berukhuwah? Adakah ”kebetulan” kita berhalaqah? Adakah semua itu hanya ”kebetulan”?Tidak sama sekali wahai kawan..semuanya sunnah Allah yang penuh hikmah..kita berukhuwah penuh makna...kerana ukhuwah ini ”because of Allah”..insyaAllah..

Walau nafas ini sesak dek cabaran sebagai pelajar...namun..kisah Ghulam, Sihir dan Rahib memberi cabaran yang lebih hebat dari itu...Ingin sekali ku berkongsi ilmu ini denganmu..sahabat-sahabatku..

Hadis Ghulam merupakan sebuah cerita yang disampaikan oleh junjungan mulia..Rasulullah s.a.w...Al-kisahnya...

”Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yg mempunyai seorang tukang sihir. Bila tukang sihir tersebut merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut aku telah tua. Carilah seorang budak (yang paling cerdik*) yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku. Lalu dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya...”

Persoalan yang mula-mula ditimbulkan di sini ialah, mengapa Rasulullah s.a.w. memulakan penceritaan dengan ”Di zaman sebelum kamu..”? Ada sesetengah pendapat menyatakan kisah Ghulam ini berlaku pada zaman Nabi ’Isa. Andaikata benar, apa beza ”Di zaman sebelum kamu...” dengan ”Di zaman nabi ’Isa a.s..”? Sudah tentunya kita merasa kisah ini lebih dekat dengan diri kita bila mana Rasulullah s.a.w. tidak mengkhususkan pada zaman sekian-sekian. Ghulam a.k.a ”budak” yg dikisahkan di sini ialah seorang yang cerdik. Ibarat logam yang banyak potensinya.

”Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya. Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan mendengar ajarannya. Akhirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu ia mengadu kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: jika kamu takutkan tukang sihir, katakan kepadanya bahawa ibu bapaku menahanku (di rumah). Jika kamu takutkan ibubapamu (kerana lewat pulang), katakan kepada mereka berdua bahawa tukang sihir telah menahanku”.

Bagaimana mungkin seorang rahib yang ahli dalam ilmu agama mengajar anak muridnya menipu?! Apa sebab sebenar yang mendorong rahib mengajar Ghulam untuk menipu? Kenapa pula rahib ingin sangat menyembunyikan dirinya dari pengetahuan masyarakat pada zaman itu? Tahukah kawan-kawan...pada zaman itu, rahib adalah satu-satunya insan bergelar muslim di negeri tersebut yang benar-benar faham tentang hakikat keimanan kepada Allah s.w.t. semata-mata..yakni hanya Allah yang berhak disembah dan bukan selainnya. Apa akan jadi sekiranya identiti keislamannya diketahui umum? Sudah pasti akan ada usaha-usaha untuk membunuhnya..jadi bagaimana mungkin rahib dapat mengajar tentang Islam kepada Ghulam? Jadi, kesimpulannya di sini, rahib bukanlah berniat untuk menipu tanpa sebab yang kukuh tetapi ada matlamat besar yang ingin dicapainya. Hidup ni sahabat-sahabat..perlu berstrategi..perlu diingat! KEBATILAN BERSTRATEGI BISA MENGALAHKAN KEBENARAN (HAK) TANPA STRATEGI!!

Jika kita kembali kepada zaman Rasulullah s.a.w., kaedah sulbah telah diguna pakai oleh Rasulullah s.a.w pada awal penyebaran Islam. Sebaik sahaja Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w. untuk menyebarkan Islam, Rasulullah terus berdakwah kepada isteri baginda, Siti Khadijah bt Khuwailid seterusnya kepada insan-insan hebat yang bisa melaksanakan dakwah Islam secara meluas dan komitmen yang tinggi. Di sinilah letaknya strategi dakwah nabi s.a.w. di mana baginda memilih mutiara-mutiara bernilai yang dapat membantu dalam menyebarkan Islam dengan lebih meluas. Lihat saja bagaimana kehebatan Saidina Abu Bakar r.a. menarik begitu ramai sahabat-sahabat hanya dengan kalimah syahadah! Seperti langit dengan bumi bahkan mungkin perumpamaan itu tidak cukup untuk membandingkan usaha dakwah umat zaman ini dan zaman sahabat-sahabat nabi yang begitu berkobar-kobar menyebarkan Islam. Rasa ’izzah (bangga) dengan Islam terbukti dengan karakter Islam yang ditunjukkan dalam setiap tingkah mereka.
**********************************************************************

”Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar (singa*) yang menghalang laluan orang ramai. Budak tersebut berkata di dalam hatinya: pada hari ini aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib. Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca: Ya Tuhan, jika sekiranya RAHIB LEBIH ENGKAU CINTAI DARI TUKANG SIHIR, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang ramai”.

Kawan-kawan...apa bezanya jika si Ghulam berdoa sebaliknya? Cuba kita tukarkan menjadi..”Tukang sihir lebih Engkau cintai dari rahib..”. Jelas di sini menunjukkan keyakinan Ghulam lebih cenderung kepada ajaran yang dibawa rahib berbanding tukang sihir.

”Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati (orang ramai sangat kagum dengan budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya).

Perkara tersebut diceritakan kepada rahib. Rahib berkata kepadanya engkau pada hari ini telah menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang. Tapi ingat, Engkau nanti akan diuji. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali engkau memberitahu tentang aku.

Budak tersebut berjaya mengubat penyakit kusta dan sopak. Dia juga dapat mengubat semua penyakit yang dihidapi oleh orang ramai. Suatu ketika seorang yang dekat dengan raja telah terkena satu penyakit sehingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak tersebut dia telah membawa hadiah yang banyak. Dia berkata kepada budak tersebut: semua ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.

Budak itu berkata kepadanya: ”Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yg dapat menyembuhkan. Jika engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan penyakitmu”. Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan untuknya dan matanya pun sembuh seperti sediakala.

Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja. Raja terkejut dan bertanya kepadanya; siapa yang mengembalikan penglihatanmu? Kata pembesar tersebut: Tuhanku.

Lalu pembesar tersebut ditangkap dan diseksa hingga dia pun membongkarkan ajaran budak tersebut. Budak tersebut dibawa kepada raja lalu raja bertanya: ”aku telah mengetahuii kehebatanmu, sekarang kamu dapat menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini”.

Lalu budak itu menjawab: aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat menyembuhkan ialah Allah. Lalu iapun ditangkap dan terus diseksa sehinggalah ia pun membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan seksaan).

Lalu rahib pun ditangkap. Ia diarahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak. Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji. Tubuhnya terbelah dua dan keduanya melerai jatuh ke bumi.

Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja. Raja berkata: ”balik semula kepada agama asalmu”. Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian dari kumpulannya dan dikatakan kepada mereka: bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan, campakkan dari atas bukit tersebut. Lalu mereka membawanya ke atas bukit. Tiba di sana, budak berdoa kepada Allah: ”Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang Engkau kehendaki”.

Doa Ghulam yang memohon pertolongan atas kehendak Allah semata-mata menunjukkan kekuatan tawakkal yang ada padanya. Tiada sedikitpun keraguan dan rasa takut tatkala nyawanya diancam. Segalanya terserah Allah.


”Seksalah..jasadku..takkan kutunduk pada kejahilanmu..kerna mengalir di seluruh tubuhku..kalimah Tuhan dari lidah rasulku..dan itu yang ku percaya..Bersaksilah Tuhanku Satu!”

Tiba-tiba bukit bergegar dan jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan kepada raja. Raja bertanya; mana dia kawan-kawanku? Jawab budak: Allah telah menolongku menghadapi mereka. Lalu raja memanggil sebahagian lagi kumpulannya dan berkata: bawa budak ini ke tengah laut. Jika enggan, campakkan dia ke dalam laut.

Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu tenggelam dan semua kumpulan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja. Raja terkejut dan bertanya: mana kawan-kawanku? Jawab budak: Allah telah menolongku menghadapi mereka.

Lalu budak tersebut berkata kepada raja: kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta. Tanya raja: apa dia? Kata budak: engkau kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian engkau ambil satu dari panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian engkau baca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini. Kemudian engkau panahlah aku. Kalau engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku.

Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya. Lalu raja membaca: ”Dengan nama Allah, tuhan budak ini” dan terus dipanahnya. Panah tersebut mengenai bawah telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus meninggal dunia. (Tiba-tiba orang ramai berkata: budak ini mengetahui perkara yang kita tidak ketahui)* ”Kami percaya kepada tuhan budak ini”.

Raja menjadi kelam kabut dan mengatakan; telah berlaku apa yang aku tak mahu ianya berlaku. Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di dalamnya. Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika tidak akan dicampakkan ke dalam parit tersebut.

Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut dicampakkan ke dalam api tersebut. Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya: Wahai ibu, sabarlah, engkau berada di atas kebenaran!

Jadi, kawan-kawanku sekalian...apa kaitannya kita dengan Ghulam? Walau kita berbeza zaman dengannya..namun kehidupan kita cukup sinonim dengannya. Mari kita bandingkan apa yang ada pada si Ghulam dan apa yang ada pada kita kini..

Diibaratkan…
Ghulam..............................................Kita
-Sihir -Sains (Kesihatan, Perubatan, Pergigian dll)
-Rahib -Murabbi/ Naqib/ah
-Asbab kematian: Syahadatul Haq -Asbab kematian:”Sendiri Mau Ingat!”

Subhanallah..begitulah sahabat-sahabatku..Ghulam berjaya menegakkan SYAHADATUL HAQ hingga ke akhir nafasnya...mari kita muhasabah diri sebentar..adakah pada tika ini, SYAHADATUL HAQ yg sering kita laungkan sudah tertegak? Mampukah kita berhadapan dengan Yang Maha Esa dengan usaha kita yang ada kala seolah main-main dengan tanggungjawab besar ini!? Sudah cukupkah hidup kita dengan hanya bergelumang dengan keduniaan semata..bilakah saat yang kita tunggu untuk menyesal?! Nanti kita semua akan ditanya tentang apa yg kita sibuk kumpulkan dan tentang apa yang kita sering bangga-banggakan..saat itu..kita pasti akan melihat betapa jahilnya diri ini..

Ayuh sahabat-sahabat yang dikasihi hanya kerana Allah..bangunlah dari bermalas-malasan..mari kita saling nasihat-menasihati ke arah REDHA-NYA semata..Iman ini sememangnya akan naik dan turun. Oleh itu wahai sahabat-sahabatku...ingatkanlah aku jika aku lalai...

(Hadis riwayat Muslim (No. 5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq) Tarmizi (No. 3263 Kitab Tafseer al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab Riyadhus-Solihin di bawah bab Sabar)

* di dalam kurungan ialah beberapa tambahan yang ada di dalam riwayat Tarmizi.

Di akhir riwayat, Imam Tarmizi menyatakan bahawa: Budak tersebut kemudiannya dikebumikan. Pada zaman Sayyidina Omar r.a. telah ditemui mayatnya dalam keadaan tangannya masih diletakkan pada bawah telinganya yang masih luka. ALLAHUAKBAR..!

Wallahu’alam...

zati_nadia@yahoo.com
spirit.balqis@gmail.com
22/02/09 ~ 26 Safar 1430H @ 0335H

Followers